Kek Pisang Choc Chips

Thursday, February 23, 2012

(17) Comments



Assalamualaikum... Salam ceria dan selamat pagi buat semua pengunjung Dapur CT. Hari ni CT nak share satu lagi resipi yang CT gunakan Pisang dan Choc Chips sebagai bahan asasnya. Resepi ni hampir sama dengan kek pisang yang pernah CT buat sebelum-sebelum ni. Tapi yang ini ada ditambah dengan sour cream. Resepi ini adalah hasil olahan CT yang diinspirasikan dari beberapa laman resepi dari barat yang CT ubah sedikit sebanyak mengikut selera CT.



Berbalik kepada resepi ini, CT buat dalam loyang 7 inci dan selebihnya buat dalam acuan kecil-kecil. Di sebabkan terkejar-kejar nak ambil gambar kerana hari dah semakin gelap diluar, CT sempat ambil yang dalam ramekin aje, dan cuma satu aje sebab tak sempat dah. Maklumlah nak susun prop lagi, nak pasang tripod lagi, aduh terkejar-kejar CT jadinya... hehehe. Lain masa nanti CT nak cuba versi yang lain pulak, nanti CT kongsikan dalam Dapur CT ya. Yang ini CT tunjukkan yang biasa-biasa aje. Alahhh... mesti ada yang cakap, kek macam ni kita pun boleh buat. Tapi... pada CT terpulanglah, sebab CT memang suka mencuba benda-benda yang baru, mencuba apa yang belum pernah CT buat, walaupun resepi tu ringkas dan mudah. Yang paling penting adalah usaha ingin mencuba dan berkongsi hasil percubaan tersebut kepada yang lain. Kalau buat sesuatu kali pertama tak menjadi, cuba lagi dilain kali. Tak boleh berharap percubaan pertama akan menjadi cantik. Pendek kata, kita tak boleh ada sifat cepat putus asa. Begitulah prinsip yang CT pegang. Untuk resipi Kek pisang ni ada juga yang CT tak puas hati sebenarnya dan masih tidak mencapai hasil seperti yang CT mahukan. Lain kali CT akan buat lagi dan InsyaAllah CT akan kongsikan bersama lagi dalam Dapur CT ya.



Ada juga yang bertanya pada CT di inbox FB tu cara-cara CT ambil gambar sebab kata mereka sekarang ada kelainan sedikit dalam gambar-gambar CT. CT pernah juga letak entri dalam Dapur CT sedikit masa dulu tentang bagaimana CT ambil gambar. Asasnya sama aje, cuma sekarang CT beri lebih tumpuan pada penggunaan prop dan memasukkan konsep tertentu dalam setiap resepi yang CT cuba tampilkan. Maklumlah, kalau CT tak beri perubahan nanti pembaca blog CT akan bosan melihat hasil kerja yang sama aje. Tambahan pula, food blogging sekarang dah tak macam dulu. Selain menampilkan resepi, yang setara pentingnya juga adalah penampilan menu yang kita sajikan dalam bentuk gambar makanan yang digayakan ataupun Food Styling.


Walau bagaimanapun, titik akhirnya adalah kreativiti kita masing-masing. Dan yang paling penting jika kita nak berjaya adalah berlatih, berlatih dan berlatih tanpa jemu dan cuba sampai jadi. Hai panjang lebar pulak CT bercakap pasal ambik gambar ni. Nanti bila ada kesempatan CT akan kongsikan bagaimana cara menggunakan ruang yang kecil tapi cukup untuk menghasilkan gambar-gambar yang berseni. Beri CT sedikit masa lagi ye. InsyaAllah CT akan kongsikan tips-tips tersebut. Sampai jumpa lagi nanti. Daaa...

Kek Pisang Choc Chips
Resepi: Che CT

Bahan-bahan :
2-3 biji pisang masak ranum - di lecek halus

1/2 cawan mentega tanpa garam - suhu bilik

1 cawan tepung serbaguna

3/4 cawan tepung gandum

1 sudu kecil baking powder

1/2 sudu kecil soda bikarbonat

1/4 sudu garam

1/2 cawan gula perang

2 biji telur - dipukul dengan garfu sekejap

1/2 cawan sour cream

1/2 cawan choc chips (boleh guna lebih jika suka)


Hiasan
:
Buttercream dan hirisan pisang

Cara-cara
:
1. Gris loyang beukuran 8 inci dengan butter dan ketepikan. Untuk acuan kecil, boleh gunakan ramekin.
2. Satukan bahan-bahan kering dan ayak. (CT ayak sekali choc chips tu dan Ketepikan).
3. Pukul mentega dan gula perang dalam mangkuk lain hingga berkrim selama 2 minit.
4. Masukkan telur, sour cream dan pisang lecek. pukul lagi dengan kelajuan sederhana hingga adunan sebati.
5. Perlahan-lahan masukkan bahan-bahan kering dan putar sebentar dan masukkan choc chips dan kaup balik dengan spatula sehingga rata.
6. Tuang dalam loyang, ratakan. Jika gunakan ramekin, scoopkan dalam acuan 3/4 penuh. Bakar dalam oven 175'C selama 40-50 minit untuk loyang atau 20-25 minit untuk acuan kecil.
7. Sejukkan dan bolehlah disapu buttercream dan susun hirisan pisang di atasnya.




CT Delima

Kek Coklat Pear Mini

Wednesday, February 22, 2012

(18) Comments



Assalamualaikum... Salam mesra dan salam pagi yang ceria teman-teman semua. Hari ni CT nak share resipi Kek Coklat Pear Mini yang CT ambil dari sebuah buku masakan. Tapi oleh kerana resepi ni dalam bahasa Inggeris, tak dapatlah CT nak copy paste macam resipi yang lain-lain. Jadi kena menari-narilah jari lentik CT ni di atas papan kekunci ya... hehehe. Sesekali dok menaip apa salahnya, kira buat senaman jari-jemari lah, elok jugakan. Untuk resipi ni CT dah kurangkan sedikit sukatan gula tu. Resipi asalnya letak 3/4 cawan, rasa macam manis pulak bila di lihat pada sukatan adunan nya. Kek ni rasanya macam kek span pun ada, tapi padat sikit jer. Tak retilah nak cakap macamana, tapi lembut dan sedap sebab ada basah-basah sikit lebih kuranglah. Kira ini mencuba resipi yang baru dan lain sikit adunan ni, sebab ada gabungan tepung beras dan tepung gandum dalam tu. Kot-kot ada yang teringin nak cuba bolehlah cuba, CT tak paksa pun... hehehe



Sebenarnya, selain guna hirisan buah Pear, CT ada juga guna hirisan buah epal dan sebahagian lagi CT letakkan choc chip di atasnya. Saja letak berlainan sebab nak tahu beza rasanya, tapi bila dah makan tak rasa ada beza pun yang epal dengan pear tu, sama jer. Anak-anak kata sedap yang choc chip, cuma My laling CM ni kurang sikitlah pada kek-kek coklat ni. Tak berapa suka sangat, dah muak dengan coklat katanya. kalau kek vanila atau perasa pandan tu minatlah. CT ni pulak saja nak mencuba, nak juga tahu rasanya sebab tengok pada gambar macam sedap. Bila dah siap kejadiannya taklah sama sangat, lebih kurang sikit aje. Acuan tu CT guna yang aluminium cup petak tu, dan Kevin guna yang bulat. Orang kalau dah pro, hasil kejadiannya nampak cantik berbanding kita yang tak berapa pro ni kan... hehehe.



Selalunya kalau CT ke kedai buku MPH, BORDER, POPULAR atau kedai buku mamak ker benda yang pertama sekali yang CT sambar ialah buku masakan. Yang lain-lain macam novel ker dah tak pandang dah... hehehe. Kalau rasanya nak baca pun pinjam aje novel anak dara CT. Dah tak ada masa dah nak belek-belek novel macam dulu. Sekarang buku masakan dah banyak dalam koleksi, sampai tak tahu nak pilih resipi yang mana dan nak cuba yang mana dulu. Semuanya nampak sedap dan menyelerakan.



Di sini juga CT nak bagi tahu sedikit, teknik mengambil gambar ni banyak caranya. Cara paling cepat ialah belajar melalui internet iaitu dengan merujuk contoh-contoh gambar dan membaca tips-tips tentang macamana nak ambil gambar, penggunaan dan cara menyusun prop dan berbagai-bagai lagi yang dapat kita pelajari. Itu semuanya ILMU yang patut kita pelajari dan memang berguna jika kita serius hendak memotretkan hasil masakan kita jadi cantik atau istilah yang amat popular digunakan sekarang iaitu Penggayaan Makanan ataupun dalan bahasa inggerisnya, Food Styling. CT pun kadang-kadang belajar dari internet juga dan rajin merujuk blog-blog masakan profesional dari barat bagaimana cara-cara mereka mengambil gambar dan baca mana-mana yang patut dan CT tak tahu. Ada jugalah yang CT belajar dan bertanya dengan suami CT sendiri, sebab suami CT lebih tahu dan pandai banyak berbanding CT kan, jadi senanglah tak payah nak belajar kat luar.



Okeylah tak nak cakap lebih-lebih nanti kering tekak tu sebab baca celoteh CT pagi ni kan. Kalau ada yang nak cuba resipi dibawah silakan tapi kalau rasanya tak pasti, tengok ajelah ya... hehehe. Daaa....


Kek Coklat Pear Mini
Sumber : Majalah Masakan - Kevin
Di Terjemah dan di Olah : Che CT


Bahan-bahan :
113 gm unsalted butter - suhu bilik
1/2 cawan gula kastor
3 biji telur
60 gm coklat masakan - cairkan dan sejukkan
1/4 cawan buttermilk
1/3 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar serbuk koko
1 1/4 sudu kecil baking powder
1 biji buah pear - hiris halus. Boleh ganti buah epal


Cara-cara :
1. Panaskan oven 175'C dan letak kek pada rack tengah. Gris acuan dan letak acuan kertas muffin.
2. Dalam mangkuk adunan, pukul butter dan gula menggunakan kelajuan sederhana sehingga ringan dan berkrim selama kira-kira 2-3 minit.
3. Kemudian kurangkan kelajuan dan masukkan telur satu persatu. Jarak antara sebiji telur ke telur berikutnya anggaran 30 saat. Dan putar lagi sambil dikikis tepi mangkuk adunan agar adunan sebati.
4. Kemudian masukkan coklat cair tadi dan pukul hingga licin. Masukkan buttermilk dan pukul pada kelajuan rendah sehingga sebati.
5. Masukkan tepung, baking powder, koko yang telah diayak kedalam adunan tadi dan putar lagi dalam 30 saat dengan kelajuan sederhana.
6. Scoop atau sudukan 2/3 dalam acuan dan susun hirisan buah pear diatasnya. Dan bakar selama 20-25 minit untuk kek mini. Jika gunakan loyang besar, bakar selama 30-40 minit.
7. Sejukkan kek dan hidangkan.




CT Delima

Apam Keledek Marble

Tuesday, February 21, 2012

(24) Comments



Assalamualaikum... Salam mesra dan salam ceria buat semua teman-teman CT. Hari ni CT nak kongsikan satu resipi kuih apam pulak. Kiranya CT ni rajin jugalah buat apamkan. Kalau yang lepas-lepas tu CT buat apam beras, tapi kali ni nak sharekan bersama resipi Apam Keledek Marble. Resipi asalnya ialah Apam kentang yang telah diubah menjadi apam keledek oleh Yatie-Sinar Kehidupanku. Ini pun kes nak perabiskan keledek yang direbus lebihan dari buat Kuih Bom tu. Sayang pulak sebab masih ada bakinya. Tu yang mencari-cari resipi menggunakan keledek dan terjumpa resipi dari Yatie ni. Cuma biasalah CT ni suka mengubah sedikit kejadiannya, suka bermain dengan kaler-kaler ni... hehehe.



Sukatan ini masih sama, cuma CT bagi dua adunan yang dah perap tu. Satu tetap warna asal dan satu lagi CT tambah 1 sudu kecil coklat emulco dan gaul rata. Masa bubuh dalam acuan tu pandai-pandailah ya, ikut citarasa masing-masing. Kalau tak nak buat marble, buat plain pun boleh juga. Banyak jugalah dapat dalam satu adunan ni, sampai tengahari juga nanti baru habis. Sebenarnya Apam Keledek ni CT buat pun dah malam, lepas solat Magrib baru nak mengukusnya. Buat sarapan anak-anak untuk ke Sekolah dan selebihnya CT simpan dalam bekas dan tengaharinya CT dan anak-anak akan makan lagi.



Apam ni selalunya makan dengan kelapa yang dikukus sedap sikit rasanya. Tapi kali ni CT tak letak sebab My laling CM tak suka, hanya letak sikit jer untuk anak-anak. Lembut jugalah, sedang-sedang aje manisnya. Terima kasih Yatie sebab share resipi Apam Keledek ni ya, semoga semakin murah rezeki Yatie hendaknya, Insya'Allah. Kalau ada yang ingin mencuba atau ada stok keledek dirumah tu bolehlah mencuba ya. Jangan macam CT ni sampai dah tumbuh pucuk kat keledek tu baru nak buat kuih... hehehe. Sampai jumpa nanti. Daaa...

Apam Keledek Marble
Resipi : Yatie - Sinar Kehidupanku
Di Olah : Che CT


Bahan-bahan :
3/4 cawan gula pasir *
200 ml air *
1 helai daun pandan * (* masak sehingga gula hancur dan sejukkan)
2 cawan tepung beras
1 cawan keledek direbus (saya guna keledek oren, jadi takyah letak pewarna)
250 ml santan
1 cawan tepung gandum
sedikit garam
1 sudu kecil yeast
1 sudu kecil baking powder
Sedikit pewarna oren
1 sudu kecil coklat emulco

Cara-cara:
1. Keledek rebus di blend bersama dengan santan (biarkan sebentar).
2. Masak gula bersama air dan daun pandan, sejukkan.
3. Dalam mangkuk lain, satukan tepung beras, tepung gandum,yeast, baking powder dan garam.
4. Satukan semuanya dalam blender dan kisar sebati.
5. Perap selama 1 jam. Sapu minyak pada acuan kecil-kecil.
6. Kalau dalam acuan kecil-kecil kukus selama 15 minit.
7. Kalau guna loyang besar, kukus selama 40 minit.
8. Apam ini boleh di makan bersama dengan kelapa parut kukus yang digaul dengan sedikit garam.




CT Delima

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...